Selepas aku berfikir panjang, aku memilih untuk menjadi lebih optimistik. Aku tentu akan terus muram bersalut duka sekiranya yang aku kejar adalah kegembiraan untuk dapat menamatkan kedukaan. Aku tentu akan terus bersedih sekiranya yang ku kejar adalah kegembiraan untuk tidak tersekat pada dugaan yang menyakitkan. Maka aku memilih untuk berhenti mengejar kegembiraan yang hanya berupa bayang-bayang. Aku memilih untuk mengejar apa sahaja peluang kegembiraan yang ada di depan mata. Bukannya terus menanti dan mengejar kegembiraan yang sudah terlepas daripada genggamanku.
Kadangkala kita sering tersilap dalam mengejar kegembiraan buat diri. Kita tidak dapat melihat perbezaan kegembiraan yang hakiki dan kegembiraan yang sudah menjadi ilusi. Mengejar kegembiraan yang hanya bayang-bayang sekadar akan menambahkan kedukaan. Kita akan terus berharap hingga terabai peluang-peluang kegembiraan lain yang ada di depan mata.
Ibarat menanti di hadapan sebuah pintu yang akan membawa kita keluar dari sebuah bangunan. Namun pintu tersebut sudah terkunci. Kita terus menanti dengan penuh pengharapan pintu tersebut akan terbuka. Kita mengabaikan pintu-pintu lain di sebelah yang turut terbuka sekali sekala. Terlupa bahawa tujuan kita yang sebenar adalah untuk melepasi pintu tersebut dan keluar dari bangunan. Bukannya menanti pintu yang terkunci itu terbuka. Rasa sedih akan hadir apabila terhapus peluang untuk suatu kegembiraan. Itu semua lumrah. Namun yang silap adalah apabila kita terus bersedih hingga lebih banyak peluang kegembiraan tercicir daripada genggaman.
No comments:
Post a Comment